Accessibility Tools

  • Content scaling 100%
  • Font size 100%
  • Line height 100%
  • Letter spacing 100%
fb ikon  ig ikon  utube ikon  tiktok icon  rss ikon
faq hubungi-kami aduan aduan-integriti peta-laman
 

  • Apakah Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan (PKKP)?

    PKKP adalah dokumen rasmi  berbentuk penyata yang disediakan oleh Akauntan Negara Malaysia mengikut kehendak seksyen 16(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] dan diaudit oleh Ketua Audit Negara sebelum dibentang di parlimen mengikut kehendak Seksyen 16(2) Akta yang sama.

  • Apakah objektif penyediaan PKKP?

    PKKP disediakan bertujuan untuk menunjukkan kedudukan kewangan, aliran wang tunai dan prestasi kewangan. Penyata ini melaporkan transaksi kewangan berkaitan punca dan penggunaan sumber kewangan seperti yang telah diperuntukkan oleh Parlimen bagi tahun kewangan.

  • Bagaimana PKKP disediakan?

    PPKP disediakan mengikut format yang ditetapkan di bawah Piawaian Perakaunan Kerajaan (PKK) bertujuan untuk menetapkan dasar dan piawaian perakaunan serta asas persembahan penyata kewangan tahunan yang perlu dipatuhi oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.   

    Selain itu, PKKP disediakan dengan mengambil kira aspek persembahan yang benar dan saksama serta pematuhan kepada piawaian perakaunan kerajaan. Kesaksamaan dalam persembahan penyata kewangan kerajaan mewajibkan:

    1. Pemakaian secara konsisten dasar, prinsip dan andaian perakaunan kerajaan yang telah ditetapkan dalam PPK
    2. Persembahan maklumat yang relevan termasuk andaian-andaian dalam perakaunan, boleh dipercayai, boleh dibandingkan dan mudah difahami;
    3. Pendedahan maklumat material jika ada.

    Buat masa ini, PKKP yang disediakan adalah berdasarkan perakaunan Asas Tunai Ubahsuai iaitu satu kaedah perakaunan yang mengiktiraf dan merekod sesuatu urus niaga apabila tunai diterima atau dibayar dalam tempoh perakaunan tersebut. Di bawah kaedah ini, perbelanjaan aset tidak dipermodalkan dan liabiliti tidak dilaporkan di dalam penyata kewangan, segala perbelanjaan akan menggunakan peruntukan tahun semasa dan pembayaran dibuat sehingga bulan Januari tahun berikutnya.

  • Bilakah PKKP disediakan?

    PKKP disediakan pada setiap Tahun Kewangan. Tempoh Tahun Kewangan Kerajaan adalah bagi dua belas bulan berakhir 31 Disember setiap tahun.

  • Apakah komponen dalam PKKP?

    Persembahan PKKP mengandungi tujuh (7) komponen berikut:

      1. Pernyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan / Pegawai Kewangan Negeri dan Akauntan Negara Malaysia / Bendahari Negeri / Akauntan Negeri
        Pernyataan ini mengesahkan ketepatan dan kesahihan Penyata Kewangan Kerajaan yang disediakan mengikut kehendak Seksyen 16(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] dan International Public Sector Accounting Standard (IPSAS) – Financial Reporting Under The Cash Basis of Accounting.

      2. Laporan Akauntan Negara Malaysia / Akauntan Negeri / Bendahari Negeri
        Laporan ini mengandungi analisis dan ringkasan kedudukan prestasi pengurusan kewangan dan akaun kerajaan bagi tahun kewangan berkenaan.

      3. Penyata Kedudukan Kewangan
        Penyata ini menunjukkan pegangan Wang Awam Kerajaan di bawah Kumpulan Wang Disatukan. Wang Awam Kerajaan terdiri daripada wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi Kumpulan Wang Disatukan melalui Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan.

          1. Wang Awam 
              1. Wang Tunai
                Wang Tunai dinyatakan dalam tiga kategori iaitu:
                1. Wang Tunai Dalam Bank
                  Wang Tunai Dalam Bank terdiri daripada baki akaun semasa dan akaun lain yang dikhaskan untuk tujuan tertentu, termasuk simpanan tetap di institusi kewangan bagi tempoh tiga (3) bulan atau kurang.

                2. Wang Tunai Dalam Perjalanan
                  Wang Tunai Dalam Perjalanan terdiri daripada wang tunai belum dibankkan dan wang tunai dalam bank yang belum diambil kira dalam buku tunai pejabat perakaunan pada akhir tahun kewangan.

                3. Wang Tunai Dalam Tangan
                  Wang Tunai Dalam Tangan adalah baki Panjar Wang Runcit.

              2. Pelaburan
                • Pelaburan terdiri daripada:
                  1. Pelaburan Kumpulan Wang Amanah
                    Pelaburan Kumpulan Wang Amanah adalah pelaburan yang dibuat dari Kumpulan Wang Amanah selaras dengan Surat Ikatan Amanah (Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]), Arahan Amanah (Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]) dan juga peraturan yang berkuatkuasa.

                  2. Pelaburan Am
                    Pelaburan Am adalah semua pelaburan yang dibuat daripada lebihan Kumpulan Wang Disatukan selain dari Pelaburan Kumpulan Wang Amanah. Pelaburan ini juga termasuk urus niaga penukaran seperti pinjaman kepada aset pelaburan.

                • Simpanan Tetap melebihi tempoh tiga (3) bulan dikategorikan sebagai pelaburan.

        Kumpulan Wang Disatukan

        Mengikut Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61], tiga akaun berasingan disenggarakan di bawah Kumpulan Wang Disatukan iaitu:

              • Akaun Hasil Disatukan
              • Akaun Pinjaman Disatukan
              • Akaun Amanah Disatukan
              1. Akaun Hasil Disatukan
                Akaun Hasil Disatukan mengakaun semua terimaan serta Perbelanjaan Mengurus Kerajaan kecuali terimaan bagi pinjaman dan amanah.
                1. Hasil
                  Terimaan hasil diakaunkan secara jumlah kasar ke dalam Akaun Hasil, kecuali diperuntukkan sebaliknya oleh mana-mana undang-undang. Hasil diklasifikasikan mengikut jenis iaitu:-
                  • Hasil Cukai
                  • Hasil Bukan Cukai
                  • Terimaan Bukan Hasil
                  • Hasil Wilayah Persekutuan

                1. Perbelanjaan Mengurus
                  Perbelanjaan Mengurus terdiri daripada Perbelanjaan Tanggungan dan Perbelanjaan Bekalan. Perbelanjaan tersebut diakaunkan dalam Akaun Hasil Disatukan menurut peruntukan Perkara   98, 100, 101, 102 dan 104 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 13 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].

                  • Perbelanjaan Tanggungan
                    Perbelanjaan Tanggungan adalah perbelanjaan khusus yang diperuntukkan mengikut Perkara 98 Perlembagaan Persekutuan.
                  • Perbelanjaan Bekalan
                    Perbelanjaan Bekalan ialah perbelanjaan yang diperuntukkan mengikut Perkara 100 dan 101 Perlembagaan Persekutuan.

              1. Akaun Pinjaman Disatukan
                Akaun Pinjaman Disatukan dinyatakan mengikut dua (2) kategori iaitu Pinjaman dan Bantuan Luar Negeri.

                  1. Pinjaman terdiri daripada:
                    • Pinjaman Dalam Negeri
                    • Pinjaman Luar Negeri
                    • Pinjaman bagi membiayai Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan

                  2. Bantuan Luar Negeri terdiri daripada:
                    • Pinjaman Multilateral
                    • Pinjaman Bilateral
              2. Akaun Amanah Disatukan
                Akaun Amanah Disatukan mengakaun terimaan dan bayaran  berikut:    
                  1. Semua wang yang diterima dan dibayar oleh mana-mana Kumpulan Wang Amanah mengikut terma dan peraturan yang dinyatakan dalam Surat Ikatan Amanah mengikut (Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]).
                  2. Apa-apa wang pelbagai yang diamanahkan kepada seseorang pegawai awam tertakluk kepada kuasa yang diberi melalui Arahan Amanah (Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]) dan termasuklah penerimaan dan pembayaran wang deposit.

                    Akaun Amanah Disatukan dikategorikan seperti berikut :-

                    1. Kumpulan Wang Amanah Kerajaan
                      Kumpulan Wang Amanah Kerajaan di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] terdiri daripada:

                      • Kumpulan Wang Pembangunan

                        Kumpulan Wang Pembangunan mengakaun terimaan dan perbelanjaan pembangunan mengikut Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 [Akta 406]. Terimaan bagi Kumpulan Wang ini terdiri daripada pindahan dari Akaun Pinjaman Disatukan, caruman dari Akaun Hasil Disatukan, Terimaan Balik Pinjaman dan Pelbagai Terimaan.

                      • Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan

                        Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan mengakaun terimaan dan bayaran berkaitan dengan kemudahan pinjaman perumahan kepada kakitangan perkhidmatan awam, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan serta kepada ahli Pentadbiran, Perundangan dan Kehakiman mengikut Akta Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan 1971 [Akta 42].

                      • Pelbagai Kumpulan Wang Amanah Kerajaan

                        Kumpulan Wang Amanah Kerajaan yang ditubuhkan untuk sesuatu tujuan khas dan disenaraikan di Jadual Kedua dan Ketiga Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].

                    2. Kumpulan Wang Amanah Awam

                      Kumpulan Wang Amanah Awam terdiri daripada Amanah Khas dan Amanah Am yang mengakaun terimaan dan bayaran bagi maksud tertentu mengikut akta khas tertentu atau Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61].

                    3. Akaun Deposit

                      Akaun Deposit terdiri daripada Deposit Am dan Deposit Pelarasan. Deposit Am mengakaun wang yang diterima khusus bagi sesuatu maksud di bawah undang-undang atau perjanjian dan dibayar balik apabila maksud tersebut telah dicapai. Deposit Pelarasan adalah akaun sementara yang diguna sebelum bayaran dibuat atau pelarasan kepada akaun tertentu.

      4. Penyata Penerimaan Dan Pembayaran Wang Tunai

        1. Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai menunjukkan aliran masuk dan aliran keluar tunai dan kesetaraan tunai. Kesetaraan tunai merupakan pelaburan untuk tempoh tiga (3) bulan atau kurang yang mudah ditukar kepada wang tunai.
        2. Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai terdiri daripada:

          1. Terimaan

            Aliran masuk terimaan utama kerajaan adalah terdiri daripada hasil, pinjaman, bantuan luar negeri, terimaan modal dan terimaan lain.

          2. Bayaran

            Aliran keluar bayaran utama kerajaan adalah terdiri daripada perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan, perbelanjaan modal, bayaran balik pinjaman, bayaran balik bantuan luar negeri dan bayaran lain. 
        1. Penyata Prestasi Kewangan
          Penyata ini menunjukkan lebihan atau kurangan hasil keseluruhan berbanding jumlah perbelanjaan mengurus dan pembangunan serta sumber pembiayaannya. Penyata ini juga menunjukkan pergerakan dana dalam Pinjaman dan Bantuan Luar Negeri, Terimaan Balik Pinjaman dan Pelbagai Terimaan serta Perubahan Tunai, Pelaburan dan Amanah. 
        1. Penyata Akaun Memorandum
          Penyata ini menunjukkan sebahagian aset kewangan kerajaan dan liabiliti kerajaan yang tidak dinyatakan di dalam Penyata Kedudukan Kewangan.

          1. Memorandum Aset

            Memorandum Aset terdiri daripada Pinjaman Boleh Dituntut dan Pelaburan yang dikenakan kepada Perbelanjaan Mengurus atau Perbelanjaan Pembangunan.

          2. Memorandum Liabiliti

            Memorandum Liabiliti dinyatakan dalam dua kategori iaitu  Hutang Awam dan Pelbagai Liabiliti. Hutang Awam terdiri daripada Pinjaman Dalam dan Luar Negeri, Pinjaman bagi Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan dan Bantuan Luar Negeri. Pelbagai Liabiliti terdiri daripada Nota Kena Bayar, Sekuriti Tak Dituntut dan Akaun Depositori Pusat.
        1. Nota Kepada Penyata Kewangan

          1. Nota Kepada Penyata Kewangan merupakan sebahagian daripada penyata kewangan kerajaan. Nota ini memberi penerangan dan maklumat terperinci mengenai amaun yang ditunjukkan dalam Penyata Kedudukan Kewangan, Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai, Penyata Prestasi Kewangan,  Penyata Akaun Memorandum dan juga maklumat tambahan seperti peristiwa yang berlaku selepas tarikh Penyata Kedudukan Kewangan dan angka perbandingan.

          2. Nota ini antaranya mengandungi maklumat mengenai:

            1. Dasar dan Prinsip Perakaunan
            2. Persembahan Penyata Kewangan Kerajaan
            3. Wang Tunai
            4. Pelaburan
            5. Akaun Hasil Disatukan
            6. Akaun Pinjaman Disatukan
            7. Akaun Amanah Disatukan
            8. Memorandum Aset
            9. Memorandum Liabiliti
            10. Liabiliti Luar Jangka
            11. Akaun Belum Terima
            12. Wang Pendahuluan Kepada Kontraktor

          3. Lampiran Kepada Nota terdiri daripada:
            1. Lampiran 1 - Penyata Perbelanjaan Mengurus
            2. Lampiran 2 - Penyata Perbelanjaan Pembangunan
            3. Lampiran 3 - Penyata Akaun Memorandum Pinjaman Boleh Dituntut
            4. Lampiran 4 - Penyata Akaun Memorandum Pelaburan
            5. Lampiran 5 - Penyata Akaun Memorandum Jaminan Berkanun