-
Apakah syarat-syarat untuk mendapatkan kelulusan sebagai Juruaudit Syarikat?
Syarat-syarat dan kelayakan yang ditetapkan bagi permohonan kelulusan Juruaudit Syarikat:
- berdaftar sebagai ahli MIA bertaraf Akauntan Bertauliah;
- warganegara atau pemastautin di Malaysia;
- bukanlah seorang yang bankrap yang belum dilepaskan sama ada di dalam atau di luar Malaysia;
- dalam tempoh lima (5) tahun sebelum permohonan dibuat tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, yang melibatkan fraud atau kecurangan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tiga (3) bulan atau lebih;
- tidak pernah ditolak keahlian atau digantung keahlian oleh manamana pertubuhan akauntan yang diiktiraf;
- tidak mempunyai sebarang tindakan penguatkuasaan atau undang-undang yang masih belum selesai terhadapnya di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001 (“Akta SSM 2001”) atau mana-mana peruntukan Akta atau undang-undang yang dinyatakan dalam Jadual Pertama kepada Akta SSM 2001;
- mempunyai Sijil Amalan (Practising Certificate) yang sah daripada MIA;
- permohonan kali pertama disyaratkan menghadiri Public Practice Programme yang dianjurkan oleh MIA dan sijil kehadiran tersebut hendaklah belum tamat tempoh semasa permohonan dibuat;
- mempunyai sekurang-kurangnya enam (6) tahun pengalaman kerja terkumpul secara sepenuh masa semasa permohonan dikemukakan termasuk sebelum dan selepas menjadi ahli MIA, iaitu:
- sekurang-kurangnya tiga (3) tahun selepas menjadi ahli MIA atau minimum dua (2) tahun selepas menjadi ahli MIA bagi pemohon yang sebelumnya bekerja di luar negara sekurang-kurangnya setahun;
- mempunyai sekurang-kurangnya lima (5) tahun dalam pengalaman audit di mana dua (2) tahun pengalaman audit terkini hendaklah dalam persekitaran di Malaysia;
- telah melaksanakan sekurang-kurangnya 7,500 jam audit dan 40 penglibatan audit penyata kewangan (audit of financial statements) dalam tempoh lima (5) tahun sebelum permohonan; dan
- telah bertugas sekurang-kurangnya 1,800 jam sebagai Penyelia Audit. (Penyelia Audit bermaksud mempunyai peranan pengurusan dalam menyelia, mengurus dan 6 mengawal penglibatan audit penyata kewangan termasuk perancangan audit dan penyediaan laporan audit).
-
Siapakah panel temuduga dan apakah aspek-aspek yang diuji dalam sesi temuduga itu?
Panel temuduga Juruaudit terdiri dari:
- Wakil Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) – Pengerusi
- Wakil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
- Wakil Institut Akauntan Malaysia (MIA)
- Wakil Suruhanjaya Sekuriti (SC)
- Wakil Bank Negara Malaysia (BNM)
Skop Temuduga:-
- MIA By–Laws, Akta Akauntan 1967
- Akta Syarikat 2016, Akta Skim Kepentingan 2016, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013
- piawaian pengauditan dan pelaporan kewangan
- tadbir urus korporat
- peraturan dan polisi yang diterbitkan oleh agensi kawal selia
-
Apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya calon telah lulus temuduga?
Pemohon perlu mengambil tindakan seperti berikut:
- Menjelaskan bayaran kelulusan sebanyak RM500.00/- melalui modul pembayaran elektronik BLESS.
- Mengemukakan satu (1) salinan pendaftaran firma juruaudit syarikat mengikut subseksyen 265 (1), Akta Syarikat 2016 atau salinan serah simpan di bawah subseksyen 265(4) Akta Syarikat 2016 bagi kemasukan rakan kongsi baharu yang diperakui oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebelum mendapatkan Sijil Kelulusan Juruaudit Syarikat.
-
Apakah tatacara untuk membuat permohonan kelulusan baharu Juruaudit Syarikat?
Pemohon perlu melakukan perkara berikut:
- Pemohon perlu mendaftar dalam sistem BLESS melalui http://www.bless.gov.my/bless
- Pemohon mengemukakan permohonan untuk kelulusan Juruaudit Syarikat melalui sistem BLESS
- Muat naik salinan sijil yang berkaitan serta sijil amalan yang telah disahkan
- Muat naik surat penaja daripada pemegang lesen Juruaudit Syarikat yang sah
- Membuat pembayaran RM500 secara pembayaran elektronik setelah lulus temuduga
-
Apakah tatacara untuk membuat permohonan pembaharuan kelulusan Juruaudit Syarikat?
Pemohon perlu melakukan perkara berikut:
- Pemohon perlu mendaftar dalam sistem BLESS melalui http://www.bless.gov.my/bless
- Pemohon mengemukakan permohonan untuk kelulusan Juruaudit Syarikat melalui sistem BLESS
- Muat naik Borang Akuan Berkanun ditandatangan oleh Pesuruhjaya Sumpah
- Muat naik salinan resit yuran tahunan semasa yang dibayar ke MIA
- Muat naik salinan resit yuran pembaharuan Sijil Amalan terkini yang dibayar kepada MIA
- Membuat pembayaran RM500 secara pembayaran elektronik
-
Bilakah permohonan pembaharuan kelulusan Juruaudit Syarikat perlu dikemukakan melalui BLESS?
Pemohonan perlu dikemukakan dalam tempoh tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh kelulusan.
-
Apakah tindakan yang harus diambil sekiranya kelulusan Juruaudit telah tamat tempoh?
- Sepanjang tempoh kelulusan tidak diperbaharui, juruaudit tidak boleh bertindak sebagai juruaudit dan tidak boleh menandatangani sebarang laporan audit.
- Sekiranya permohonan pembaharuan dikemukakan selepas dari tarikh tamat tempoh kelulusan terdahulu, tempoh kelulusan baharu tidak akan bersambung. Tarikh kelulusan baharu adalah berdasarkan tarikh pembaharuan kelulusan diberikan.
- Sekiranya permohonan pembaharuan gagal dikemukakan dalam tempoh satu (1) tahun selepas tamat tempoh kelulusan terdahulu, pemohon hendaklah mengemukakan permohonan baharu sebagai juruaudit syarikat dan hendaklah menjalani sesi temuduga baharu.